Dahulu sekiranya aku diberitahu bahawa aku berkemungkinan mendapat barah payudara , pasti aku akan tersenyum dan menganggapnya sebagai satu gurauan saja. Dari apa yang aku baca semasa itu, terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat barah payudara , iaitu mempunyai ahli keluarga yang pernah mengidapnya, kedatangan haid pada umur muda , keputusan haid pada lewat usia, merokok , kegemukan, tidak pernah melahirkan anak atau lewat melahirkan anak pertama. Berdasarkan ini aku rasakan aku mempunyai risiko rendah untuk mendapat barah payudara disebabkan tiada ahli keluargaku yang pernah mengidap barah , aku kedatangan haid lewat , aku terputus haid awal pada usia 44 tahun , aku tidak merokok dan tidak gemuk dan aku mempunyai 4 orang anak ,yang pertama dilahirkan semasa aku berusia 24 tahun. Semua ini dan juga oleh kerana aku menyusukan kesemua anak-anak ku selama 2 tahun setiap seorang, membuat aku merasakan adalah mustahil aku mendapat barah payudara. Betapa salahnya aku !
Ia berlaku ketika aku berusia 47 tahun. Aku mengesannya secara kebetulan saja. Tapi bagiku cara ia dikesan adalah satu rahmat, mungkin Tuhan sangat sayangkan aku. Masa itu aku sedang berdiri di hadapan cermin di dalam bilik mandiku ,tanpa memakai apa-apa sambil merenungi tubuhku. Ini selalu aku lakukan , merenungi bentuk tubuhku. Dan seperti kebanyakkan wanita, apa yang aku nampak hanyalah ketidaksempurnaan ( bagiku payudaraku terlalu kecil , perutku terlalu buncit dan terdapat isi ditempat yang tidak harus berisi) . Pada hari tersebut salah satu daripada 3 lampu siling di dalam bilik mandi itu telah terpadam. Oleh kerana itu 2 lampu yang masih menyala menyinari dari sudut dan aku ternampak satu bayang di payudara kiriku seolah- olah ada benjolan. Aku sentuh tempat bayang-bayang itu berada tetapi aku tidak merasakan apa -apa. Tetapi bayang-bayang itu meyakinkan aku bahawa ada sesuatu di situ. Aku meminta suamiku menyentuh dan memeriksanya tetapi dia juga tidak dapat mengesan apa- apa.
Aku membuat keputusan untuk mempercayai gerak hati ku dan terus berjumpa doktor pada keesokan harinya. Doktor sendiri tidak dapat mengesan apa-apa bila dia membuat pemeriksaan payudara. Aku menggesanya supaya melakukan pemeriksaan ultrasound dan kemudiannya memang sah terdapat satu ketulan. Mengikut doctor tersebut sekiranya payudaraku besar mungkin susah bagiku untuk mengesan sendiri ketulan tersebut. Pada masa itu barulah aku menghargai dan bersyukur mempunyai payudara yang kecil. Aku dinasihatkan supaya pergi ke hospital untuk pemeriksaan mammogram. Sudah setahun aku tidak melakukan pemeriksaan mammogram. Aku memutuskan untuk berjumpa terus dengan seorang doktor pakar payudara dan setelah memeriksa ku dia mengesyurkan supaya aku dibedah untuk membuang ketulan tersebut. Akupun bersetuju tetapi malangnya jadual doktor tersebut terlalu penuh sehinggakan dia cuma dapat melakukan pembedahan satu setengah bulan dari tarikh itu. Pada masa itu aku tidak berfikir panjang tetapi setelah pulang ke rumah, aku mula berasa rungsing dan cemas. Apakata kalau ketulan itu bukan sekadar ketulan ? Apakata kalau ketulan itu sebenarnya barah ? Semakin aku fikir semakin aku runsing , walaupun di sudut hati ku aku masih merasakan yang tidak mungkin aku mendapat barah kerana risikoku rendah. Keesokan harinya aku menelefon doktor tersebut dan merayu supaya pembedahan dilakukan secepat mungkin. Dia bersetuju menyemak semula jadual kerjanya . Kemudiannya kerani pejabatnya menelefon dan memberitahu yang pembedahan dapat dilakukan 2 minggu dari hari itu oleh kerana ada pesakit lain yang menukar tarikh pembedahannya. Bukankah ini satu lagi rahmat ?
Sehari sebelum pembedahan dilakukan aku melalui pemeriksaan mammogram. Lapuran dari pakar radiologi menyebut yang ketulan itu kelihatan " sangat mencurigai " dan apabila doktor ku melihat filem mammogram tersebut dia berkata " Ini nampak kurang baik ". Pada ketika itu aku rasa seram bulu romaku. Adakah ini barah ? Mustahil ! Aku masih mengharapkan yang ianya bukan barah. Ketulan itu dibedah keesokan harinya dan aku diberitahu yang keputusan biopsi cuma dapat diketahui seminggu selepas itu. Itulah satu minggu yang terasa paling lama dalam hidupku. Itulah minggu yang paling tertekan dan tersiksa bagiku. Perasaanku bagaikan terumbang ambing. Ada ketikanya aku menangis sepuas- puas hatiku bila aku fikirkan yang ianya mungkin barah. Kata-kata doctor teriang-iang di telingaku dan aku dihantui ketakutan siang dan malam.Pada masa itu bagiku barah bererti mati. Aku terlalu muda untuk mati. Anak-anak ku masih kecil dan memerlukan aku, mereka terlalu muda untuk kehilangan ibu. Ada pula ketikanya aku memberitahu diriku sendiri " Ah, ini bukan barah. Orang lain saja yang dapat barah, takkanlah ia terjadi pada diri ku."
Masih aku terbayang dengan jelasnya apa yang terjadi pada hari aku berjumpa doktor untuk mendapatkan keputusan biopsi tersebut. Mana boleh aku lupakan hari tersebut. Itulah hari yang akan merobah hidupku selama-lamanya. Aku ke hospital ditemani suami tersayang. Bila namaku dipanggil untuk masuk ke bilik doktor, suamiku bertanya samaada aku mahu dia menemaniku berjumpa doktor. Aku katakan tidak perlu. Aku mahu menghadapinya seorang diri. Sekiranya ada keputusan yang harus aku buat, aku mahu membuatnya sendiri. Aku tidak mahu sesiapa termasuk suamiku mempengaruhi keputusanku. Sebaik saja aku masuk ke dalam bilik doktor, aku disuruh baring di atas katil pemeriksaan sementara menunggu doktor bersiap sedia. Itulah detik paling mengerikan di dalam hidupku. Kaki dan tanganku sejuk kaku dan seluruh badanku menggigil ketakutan. Jantungku berdebar begitu kuatnya bagaikan aku akan mendapat serangan jantung bila-bila masa saja. Pada masa itu tidak ada apa-apa lagi yang boleh aku lakukan kecuali berdoa dan menyerah kepada Allah. Aku berdoa sepenuh hati dan seikhlas hatiku . Aku berdoa " Ya Allah , apa yang Engkau tetapkan untukku telah Kau putuskan dan tidak dapat diubah lagi. Apa yang Engkau tetapkan untukku ada hikmahnya walaupun aku tak mengerti. Apa yang Kau tetapkan buatku aku terima dan redha dengan seikhlas hati. Aku berserah kesejahteraan diriku kepada Engkau. Tetapi ya Allah aku cuma memohon satu saja dari Engkau. Berikanlah aku ketabahan dan kekuatan untuk menempuh segalanya. Itu saja permohonanku. " Sebaik saja aku habis berdoa aku menjadi tenang. Aku tidak lagi gentar dan badanku tidak lagi menggigil. Dan apabila doktor berkata " Salmah saya ada berita buruk , memang ianya barah " , aku terima berita itu dengan tenang. Aku berkata " Apa yang harus kita buat sekarang ? "
Aku diberitahu terdapat DCIS (ductal carcinoma in situ ) ,maksudnya terdapat bibit- bibit barah di dalam saluran susuku. Satu pilihan ialah untuk membuang bahagian sekeliling barah tersebut dan pilihan kedua ialah mastectomy ( membuang keseluruhan payudara) . Oleh kerana payudaraku kecil aku membuat keputusan untuk melakukan mastectomy. Doktor bertanya bila aku mahu dibedah. Dia cadangkan aku pergi ke Australia dan berjumpa anakku seperti yang aku rancangkan dan selepas itu baru lakukan mastectomy. Tetapi aku memberitahunya yang aku mahu dibedah secepat mungkin. Aku mahu membuang "parasit " yang berada didalam tubuhku ini secepat mungkin. Dia bertanya sama ada aku mahu berbincang dengan suamiku dahulu. Aku katakan tidak perlu oleh kerana ini adalah keputusanku. Tubuh ini tubuhku. Lagipun aku yakin suamiku akan tetap menyayangiku walaupun aku tanpa satu payudara. Bagiku payudaraku hanyalah satu perhiasan . Aku lebih sanggup kehilangan payudara daripada menghadapi risiko kehilangan nyawa. Doktor berkata dia tidak pernah berjumpa pesakit yang begitu cekal sepertiku. Sebenarnya doaku telah dimakbulkan dan kecekalan yang aku rasakan adalah kurniaan Allah tentunya.
Lagi sekali jadual doktor tersebut penuh sehingga 2 bulan dan sekali lagi aku di beri rahmat Allah. Jadual doktor terluang apabila ada pesakit lain yang mengubah tarikh pembedahannya. Aku masih ingat bila aku terjaga selepas dibedah aku meletakkan tanganku di tempat bekas payudara ku berada dan yang ku rasakan hanyalah kain pembalut luka. Aku tidak pula terasa kehilangan payudara tetapi sebaliknya aku merasa lega yang barah itu telah tersingkir dari tubuhku. Beberapa hari kemudian apabila kain pembalut itu dibuka aku sekali lagi berdiri di depan cermin dan melihat tubuhku yang baru ini. Aku berkata pada diriku " Inilah bentuk tubuhku yang baru, redhailah ia . Walaupun aku berbeza pada zahirnya, tetapi bathin ku tetap sama. "
Doktorku ada bertanyakan samada aku terfikir untuk menjalani pembedahan kosmetik untuk memulihkan payudaraku oleh kerana ada wanita yang merasakan hilang keyakinan diri mereka tanpa payudara. Mereka merasa hilang kewanitaan mereka dan hilang daya tarikan sebagai seorang wanita. Bagiku kewanitaan seorang itu bukanlah hanya bergantung kepada payudaranya, kewanitaan itu bergantung kepada tingkah laku dan gerak geri seseorang. Kewanitaan lahir dari perasaan dan sanubari seseorang. Walaupun aku tanpa satu payudara aku tidak merasa aku kehilangan kewanitaan dan daya tarikan ku.
Keputusan ujian-ujian yang lainnya menunjukkan yang barah tersebut tidak merebak ke "lymph nodes" ku.Aku diberitahu yang barahku diklasifikasikan sebagai peringkat satu oleh kerana saiznya adalah 1.5cm dan ia terbendung di payudara sahaja.Aku juga sensitif terhadap hormon dan ini membolehkan rawatan dengan kaedah terapi hormon.Pakar barah menjelaskan yang terdapat lebih kurang 20 tahap bagi barah peringkat satu dan barahku adalah pada tahap satu atau dua.Oleh kerana itu kedua-dua pakar bedah dan pakar barah merasakan aku tidak perlu menjalani rawatan radioterapi mahupun kemoterapi. Alangkah leganya aku.
Walaupun aku mendapat barah tapi aku merasakan diriku bertuah dan dirahmati Allah. Aku bertuah kerana aku dapat mengesan barah tersebut pada peringkat awal, aku bertindak segera dan aku dirawat cepat. Dan Allah telah membantuku menangani barah sebaik mungkin. Barah ku juga bagaikan menyedarkan aku dari leka dan mengajakku merenung kembali jalan hidupku. Sebelum ini aku merasakan terdapat keseimbangan dalam hidup ku tetapi setelah mendapat barah barulah aku sedar yang terdapat kekurangan dalam hidupku,misalnya aku tidak banyak menumpukan pada hal-hal kerohanian.Juga selepas mendapat barah perkara-perkara kecil remeh-temeh dalam hidupku tidak lagi menjadi tumpuan ku,aku sekarang lebih memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar penting.
Nasihat ku kepada wanita-wanita yang masih sihat - bersyukurlah dan jagalah kesihatan anda. Makanlah makanan yang sihat , tidur secukupnya, jagalah berat badan, selalulah bersenam dan tenangkan fikiran dan perasaan.Fahami badan anda dan sedari sekiranya terdapat perubahan. Dengarlah gerak hati anda kerana anda lebih memahami tubuh anda dari orang lain. Selalulah melakukan pemeriksaan payudara samada dilakukan sendiri atau oleh doktor.
Kepada mereka yang mengidap barah aku nasihatkan terima dan redhai apa yang terjadi pada anda . Sentiasa bersikap positif dan tumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang baik dalam hidup anda . Sentiasa bersemangat kental oleh kerana sekiranya semangat kita cekal insyaAllah badan kita akan juga cekal. Kita hanya dapat berikhtiar dan berdoa, yang lainnya kita serahkan sepenuhnya kepada Allah.
Salmah Mohd Yunus Zyllwyn - Stewart

No comments:
Post a Comment